bismillah…
Rasanya sudah agak lama juga tidak menulis secara kritikal di sini. Entah apa yang ditunggu, saya pun tidak tahu.
________
Pernah suatu masa ketika menghadiri halaqah, setelah lama sudah tidak menghadiri halaqah atas faktor tempat belajar yang jauh dan tidak mempunyai tenaga yang mahu mentarbiyah saya, murabbi lalu bertanya kepada semua yang hadir,
“Akak nak tanya apa maksud Ikhlas?”, tanya beliau.
Masing-masing memberikan jawapan yang tersendiri, tak kurang juga ada yang memberikan jawapan yang sama. Sefikrah masa itu mungkin. Dan akhirnya saya berfikir-fikir. Entahkan apa jawapan yang nak diberikan pun tidak tahu. Nampak mudah bukan?
Sehinggalah murabbi memberikan taujihat yang panjang lebar, lalu diringkaskannya pula.
“Adik-adik yang dirahmati Allah.. Ikhlas itu umpama kamu membuang air di jamban. Lalu kamu ‘flash’ kan ia. Seolah-olah kamu tak nak tengok dia, kamu tak nak dah tahu bagaimana dia. Itulah Ikhlas”
Nahhh. Sekarang Ikhlas kita tahap apa? dan yang mana?
Melakukan kerja-kerja dakwah ini selalu menguji kita. Akan selalu menguji kita. Dan sebenarnya banyak faktor yang boleh kita lihat. Akan ada suatu tahap nanti kita diuji dengan kegagalan. Akan ada nanti kita diuji tiada yang berdampingan. Akan ada nanti kita diuji dengan sikap ‘team’ kita yang pelbagai. Inilah proses pembelajaran menerima dan memberi.
Sepulangnya dari bumi Qatar, saya bertemu dengan seorang ukhti. Wallahi, saya selalu kagum dengan generasi mereka, Selalu juga Allah memberikan saya peluang mengenali mereka tanpa saya taksub dengan apa yang menjadikan mereka kuat sebegitu. Masih terus thabat. Sehingga saya terpacul kata-kata…
“Terlalu cepat sangat mereka berundur..”
Panjang kami bahaskan isu ini. Lalu beliau mengatakan,
“Biasalah jiwa masih muda, memberontak. Akak rasa banyak keinginan mereka yang tidak cuba diraikan”.
Nahh sekali lagi.
Dakwah itu sebenarnya bagaimana?
Tak kurang juga saya selalu berfikir. Ya, apa sebenarnya dakwah itu? Apakah sekadar menyumbangkan masa, tenaga, wang kita untuk kerja-kerja islah. Apa juga sebenarnya dakwah ini tanpa tarbiyah?
Ya, seringkali kita sendiri tak terlepas, bila dikatakan kerja-kerja dakwah, kita bersikap menonjolkan amal-amal kita yang baik. Dan apakah amal-amal tersebut telah benar-benar berakar umbi dalam jiwa kita sehingga menjadi tabiat harian kita? atau hanya sekadar memperlakonkan watak-watak yang baik sahaja?
Ya, seringkali itu juga saya berfikir, justeru siapa diri kita yang sebenar? Seringkali kita bersikap tembelang. Di depan orang ini, kita begini. Walhal di depan orang sebegitu kita jadi begitu. Nauzubillah. Justeru, muhasabahlah kembali diri, siapa kita sebenarnya?
Apakah pula ada masa-masa tertentu untuk melakukan dakwah ini?
Tarbiyah itu selalu memperkasa
Hakikatnya, tarbiyah Allah kepada hambaNya sangat luas. Terkadang Allah menghadirkan kita seseorang untuk mentarbiyah kita. Tak kurang juga Allah mengilhamkan kita menyertai mana-mana badan yang menjalankan kerja-kerja dakwah dan proses tarbiyah ini. Tak kurang juga ada yang tetap baik dan soleh meski tidak menyertai apa-apa ‘badan’ sekalipun.
Saya masih ingat, ketika saya putus bekalan tarbiyah dari seorang murabbi, saya selalu yakin bahawa Allah akan memberikan caraNya mentarbiyah saya dari dimensi yang berbeza. Ya, tarbiyah dzatiyahlah yang memainkan peranan yang cukup maha hebat untuk meneruskan perjalanan tarbiyah sendiri.
Dan ketika itulah kita akan sedar, siapa diri kita yang sebenar dan amal mana yang sebenarnya telah berakar umbi dalam jiwa. Dari situ sedarlah kita kekurangan kita, dan kitalah yang harus membangun jiwa kita tanpa berlama-lama mengharapkan ihsan dan bantuan manusia yang lain,
Berbekalkan jiwa yang tak berapa kuat, kehidupan harus diteruskan. Thaqafah harus terus dibina dan sentiasa yakin dengan hikmah Allah yang tersembunyi.
Sesungguhnya Allah-lah yang sentiasa mengetahui apa yang terbaik buat kita menerusi setiap pemberian-Nya.
“Ya Allah, Janganlah Engkau jadikan dunia ini kerisauan kami yang besar. Cukuplah dunia ini wasilah untuk kami membina thaqofah, membina iman dan membuahkan amal yang menjadi bekal untuk akhirat kami…Ameen ya Rabb”
dan akhirnya… apakah amal ini ikhlas dilakukan?
Sesekali kita pernah merasakan terpaksa. Sesekali kita tak terasa apa-apa bila beramal. Nahh, tanyakan juga pernah kita mengungkit amal kita?
Simpanlah amal kita rapi-rapi.
Jauhkanlah rasa iri hati.
Lemparkanlah perasaan dendam yang pernah bertandang di hati.
Buangkanlah rasa Ego yang memenuhi diri.
Kelarlah rasa hebat pada diri.
Kerana kerja dakwah ini adalah untuk hati-hati yang sentiasa Ikhlas, kerana Dakwah ini untuk Allah. Hanya orang-orang yang melepasi ujian-ujian sebeginilah yang mampu pergi jauh berbekal kecintaan yang sangat tinggi bertemu dengan Allahu Rabbi.
Oleh itu, amal mana yang telah benar-benar ikhlas kita laksanakan……?
*crying*
Baiti Jannati, Gombak.
0 orang berkata-kata:
Post a Comment