Bas bewarna putih, kontot, dan hanya memuatkan beberapa sahaja penumpang. Uniknya bas ini, tidak aka nada sesiapa yang akan berdiri di dalamya. Ini bermaksud, kesemua penumpang akan mendapatkan tempat duduk masing-masing dan selebihnya tidak dibenarkan menaikinya.
Jarang-jarang ia penuh. Ia hanya akan penuh pada beberapa
keadaan. Satunya pada waktu pagi iaitu pada trip yang pertama begitu juga pada
penghujung petang iaitu pada trip sebelum magrib. Saat itu pelajar-pelajar
perempuan Qatar University yang mendiami asrama pelajar di Madinat Khalifah,
Doha akan berpusu-pusu malah berebut-rebut untuk menaikinya supaya cepat sampai
ke kuliah ataupun pulang ke asrama. Sesekali rasa lucu, bila mengenangkan
terpaksa berebut-rebut dengan bangsa arab untuk mendapatkan tempat di dalamnya.
Pernah sesekali akan ada seorang teman dari Sudan akan
menjerit,
“Yaum ‘Arafah… Yaum ‘Arafah”, kemudian ia ketawa apabila
melihat ke semua berlaru-lari ke arah bas dan mengerumuni pintu bas untuk
memasukinya.
Aku suka duduk di hadapan. Maka kebiasaannya, kerusi di
hadapan berdekatan pemandu akan kududuki. Aku suka lihat jalan. Aku suka
melihat kelibat kerete-kereta yang berlegar di atas jalan raya di Bandar Doha
ini. Semua kelihatan hebat-hebat. Sukar untuk aku temui kereta yang
cikai-cikai. Sesekali terpendam di dalam hati, “teringinnya hendak menaiki
kereta itu…”.
Sepanjang keberadaan di Bandar gah ini, meskipun aku suka melihat
jalannya, bangunan yang indah, keindahan landskap di tepi jalan yang dipenuhi
dengan bunga-bunga, namun aku tetap tidak mampu mengingati jalan-jalannya. Berbeza
di Malaysia, aku begitu cekap mengingati jalan raya.
Di dalam bas adalah masa paling efektif dan begitu juga
masa-masa akhir untuk aku memperkukuhkan hafazan. Setiap kali menaiki bas, aku
sudah bersiap dengan earphone, untuk aku putarkan bacaan Misyari Rasyid
al-Afaasi bagi bacaan juz Tabarak atau disebut sebagai juz 29.
Sambil- sambil bas bergerak, aku terkumat-kamit mengulang bacaan. Ditambah dengan bacaan al-Afaasi sesekali membuat aku tenggelam dalam emosi. Syahdu.
Sambil- sambil bas bergerak, aku terkumat-kamit mengulang bacaan. Ditambah dengan bacaan al-Afaasi sesekali membuat aku tenggelam dalam emosi. Syahdu.
****
Hari ini, setelah hampir dua tahun yang lalu, aku memutarkan
kembali bacaan itu. Aku memulakan keazaman untuk mengulang kembali hafazan aku
yang lalu. Betapa rindunya aku akan pemandangan yang terakan dibalik kornea
mata ini. Betapa aku rindukan masa-masa yang aku habiskan untuk mengahafal
ayat-ayat suciNya tanpa sedikitpun rasa terpaksa. Betapa aku rindukan dekatnya
aku dengan ilmu yang memandu kehidupan.
Aku memutarkan berulang kali juz tabarak, surah al-Mulk dan
al-Qalam. Sebak. Rasanya ingin sekali aku berlama-lama mengulang-ngulangkannya.
Seakan ingin aku kembali pada masa-masa itu. Ahh, ternyata ia cukup mustahil!
Betapa kehidupan kini cukup melemaskan. Punya banyak waktu
tetapi seakan tidak mencukupi. Betapa aku sebenarnya rindu kehidupan yang
bergelumang dengan kuliah, merasa dekat dengan ilmu, mendampingi guru, bersama
rakan-rakan yang seronok bertukar-tukar idea dalam ilmu.
*****
Ketika aku merasakan susahnya belajar di tanah arab itu,
sempat aku bertanya rakan-rakan arab yang prihatin dengan keadaan kami.
“Bagaimana menurut kamu subjek ini?”, Tanyaku pada seorang
teman bernama Kaltham.
“Ohh, ia cukup mudah! Insha Allah, kamupun mampu
menghadapinya”, jawab dia dengan penuh keyakinan.
Huu! Senang? Sebenarnya memang mudah. Yang Nampak sedikit
sulit kerana penggunaan Bahasa Arabnya aras tinggi sesekali membuatkan aku
terkapai-kapai untuk memahaminya. Namun, aku tidak mahu cepat berputus asa.
Subjek Sirah Nabawiyyah ini seharusnya aku kuasai. Kata cinta nabi? Kata ikut
halaqah? Jadi.. takkan tak faham kot?
Ada pada ketika yang lain, ketika semangat untuk mengharungi
kehidupan yang sukar khusunya dalam matapelajaran yang sedikit mencabar, yang
memerlukan penguasaan bahasa yang baik untuk mengolah fakta-fakta. Aku tiba-tiba
ter-termenung di dalam kelas. Mataku kualihkan melihat dinding dan melarikan ia
daripada wajah Dr Mekki di hadapan. Akhirnya..
“cuba ulang apa yang saya terangkan. Kamu faham atau tidak?”,
Tanya Dr Mekki kepadaku secara tiba-tiba sambil matanya dibulatkan dan suaranya
terdengar garang.
“err..errr….”, tiada jawapan yang keluar. Terdiam. Takut.
“Fokus! Lihat padaku dan berikan perhatian dan dengar
baik-baik”, katanya sambil mengpalkan tangannya dan meletakkan jari telunjuk
dan jari hantu di matanya tanda berikan perhatian.
Peristiwa ini membuatkan aku sentiasa bersiap sedia sebelum
menghadiri kelasnya. Terkadang cuak
tanpa kutahu kenapa. Aku berazam untuk tidak mengulanginya dan cuba memberikan focus
pada pengajaran dan subjek ini. Mudah-mudahan aku tidak mengguris hatinya lagi
gara-gara hilang focus dalam kelasnya.
Tidak cukup dengan itu, dalam subjek tafsir pula, ia
mengajarkan aku untuk bersabar di tahap yang tertinggi. Aku masih ingat, ketika
pulang daripada menunaikan umrah, lalu menghadiri kuliah seperti biasa tanpa
sempat rehat kerana khuatir diambil tindakan sekiranya aku tidak hadir ke kelas
tanpa sebab munasabah. Tiba-tiba dikejutkan dengan ujian yang tiba-tiba.
Aku cuba meraih simpati,
“Dr, kami tidak tahu hari ini ada ujian. Boleh tangguh ke?”,
Tanya salah seorang daripada kami kepada Dr Adnan.
“Tidak, saya telah memaklumkannya bahawa minggu ini ada
ujian pada awal kelas yang lalu”, jawabnya tegas tanpa member peluang untuk
kami mereka-reka alasan.
Berlalu lah ujian yang diadakan secara tiba-tiba. Tiba-tiba
kerana seingat aku, itulah hari pertama semester pengajian dimulakan setelah seminggu
bercuti pertengahan semester dan aku dan rakan-rakan menghabiskan masa seminggu
itu menunaikan ibadah umrah melalui jalan darat.
Tawakal kepada Allah. Buka kertas ujian, dan jawab sekadar yang
tahu. Ternyata banyak yang tidak aku jawab dengan baik. Ujian ini berasaskan
kepada pendengaran dan catatan kami dalam kelas saat beliau menyampaikan
kuliahnya. Kerana soalan yang diberi ternyata tiada dalam nota! Ia adalah
berdasarkan syarahan beliau sewaktu mengajar.
Sekali lagi aku belajar untuk tidak mensia-siakan butir
bicara setiap pensyarah yang memberikan kuliah mereka dalam kelas. Hampir-hampir
tidak pernah langsung aku tertidur dalam kelas. Alhamdulillah.
*****
Itulah suasana yang terakam kemas dalam fikiran dan
tersimpan dalam kotak kenangan.
Hari ini, aku masih bertanya pada diri, ingin menjadi apakah
aku? Mengalir air mata, terus berdoa dan berharap pada Ilahi.
****
Apalah jasa aku ini, nak dibandingkan dengan ilmu yang
dicurahkan guru-guruku. Sungguh aku terngiang-ngiang doa guruku yang dibacakan
di hadapan ku..
“Semoga Allah permudahkan jalan kau menuntut ilmu dan
menjadikan engkau seorang yang alim dalam ilmu agama ini. Ameeen”.
Begitulah seakan-akan
doa yang dibacakan olehnya di hadapanku usai pembentangan tugasan aku di
hadapan kelas. Berbahasa arab fushah, membaca teks dengan betul, dan
menerangkan tugasan dengan ringkas. Sungguh mendebarkan !
Semoga Allah terus memberikan aku peluang untuk menuntut
ilmu-Nya yang semakin dipelajari, semakin aku tahu diri, betapa kerdilnya kita
di hadapan Allah.
Bumi bertuah,
Malaysia.
0 orang berkata-kata:
Post a Comment