Bismillah…
Sudah hampir dua bulan tidak menghidu bauan ‘hujan’. Terus-menerus bermandikan sejuk dan panas tanpa henti. Sesekali, kulit tidak mampu menyesuaikan cirinya. Bermulalah proses pengeringan. Terkadang rasa sangat give-up! Sudahlah belajarnya bukan mudah, kini kena melihat pula kepada kesihatan yang tidak kurang pentingnya. Walaubagaimanapun, bersyukurlah atas segala nikmat yang Tuhan berikan. Alhamdulillah ala kulli hal.
Menginjak bulan kedua di Doha, Qatar menghilangkan segala keterujaan pada permulaan menjejakkan kaki di sini. Mana tidaknya, sudah tentu kita sudah mendapat gambaran bagaimanakah seharusnya berlangsung sebuah kehidupan di sini. Setiap hari malah saya melihat; Bagaimana masyarakat di sini menjalankan kehidupan mereka (meskipun pada dimensi yang terhad), begitu juga saya melihat interaksi sesama mereka, melihat pula disiplin dan norma hidup mereka.
Saya harus rasa bersyukur kerana Allah mengizinkan saya mempelajari subjek Sirah Nabawiyyah di sini. Untuk itu, pastilah bangsa ini menjadi sudut pandang dalam membuat penilaian, Mengapa Risalah ini diturunkan pada bangsa ini, Mengapa jazirah arab ini menjadi pilihan Tuhan untuk dibangkitkan seorang utusan.
Seringkali sedih datang menjelma ketika melihat realitinya, begitu juga ada desakan dari dalam jiwa yang terus mengatakan bahawa, ‘Kita semua manusia, pasti ada dosa dan alpanya’.
____
Ketika mula melangkah masuk ke dalam Universiti yang menjadi medan seterusnya pengajian saya (Qatar University), terlalu banyak impian dan idaman yang disusun dan dirancang untuk masa depan di dalam ilmu. Terlalu banyak peluang untuk meng’upgrade’ diri. Namun saya juga manusia. Tidak semua peluang saya mampu ambil. Dan peluang akan terus menjadi peluang kepada yang lain.
Saban hari, berjuang dengan diri. Kadang kuat, begitu juga ada fatrah lesu. Terasa betapa pentingnya seorang teman di kala berjauhan. Terasa betapa nikmatnya perjuangan ini jika ditemani teman yang mempunyai matlamat yang sama. Terkadang air mata jatuh sendiri tatkala mengenangkan betapa berertinya seorang teman di dalam kehidupan kerana tak selamanya seorang manusia itu betah bersendirian.
Untuk melangkah jauh kita perlukan wawasan yang kita bina dan kita pegang kuat-kuat. Tapi bukan semua mampu melaksanakannya. Sudahlah wawasan diperlukan, Istiqamah dalam mengharunginya juga diperlukan. Bukan semua boleh dan mampu Istiqamah dengan Ikhlas. Begitulah sebuah perjuangan mengajar kita untuk reti dan mesti bermujahadah.
____
Kembaralah untuk tahu siapa kita!
Ada benarnya. Sebuah pengembaraan akan berterusan diujui. Diuji sejak permulaan dalam menetapkan pengembaraan begitu juga apabila berlangsungnya sebuah pengembaraan. Maha Suci Allah. Masih lagi saya terkenang pada permulaan saya menerima pelawaan untuk sebuah kembara, terkadang di dalam hati terpalit rasa riak dan rasa hebat. Bila Allah tarik nikmat tertangguhnya kembara, seakan termuhasabah. Kembara untuk kali kedua juga bukan mudah pertarungannya. Bukan senang untuk sentiasa berada dalam niat yang benar.
Allah berikan kepada kita, apa mahu kita, pada tepat masanya. Dan Allahlah lebih tahu bagaimana perlaksanaannya.
Sesungguhnya, bukan mudah untuk terus kuat dalam kembara menuntut ilmu. Terasa cemburu kepada mereka yang terlebih dahulu menjalani jalan ilmuan ini. Mereka telah mengorbankan perasaan, jiwa, dan segala apa yang ada untuk mendepani jalan menuntut ilmu ini. Ada yang menyelusuri jalan ini sehingga tidak sempat memikirkan perkara lain. Kerana kecintaan kepada ilmu, usia dihabiskan dengan mendalami ilmu. Sungguh aku cemburu. Terkadang saya sempat berkhayal di tengah pengembaraan ini, ‘Mungkinkah Allah memberikan aku juga seorang teman hidup yang masanya juga banyak dihabiskan dan bersungguh-sungguh untuk ilmu Allah?, setidaknya aku akan terus terinspirasi untuk terus lebih maju menyingkapi ilmu Tuhan’.
Begitulah juga, matinya segala anganan dan igauan apabila berhadapan dengan segala tuntutan ilmu yang memerlukan saya fokus dan menyelesaikannya terlebih dahulu. Masa itu terlalu beharga, tetapi selalu juga disalah guna.
____
Terlalu banyak Tuhan telah didik dan beri pada diri kita.
Allah mengilhamkan untuk saya bersama dengan rakan seperjuangan di dalam ‘saff’, Allah telah melapangkan segala urusan dalam pelajaran. Sungguh dua-dua penting buat saya. Natijahnya adalah sumbangan yang akan terus kita beri kepada ummah. Perlu dan pentingnya untuk kita mengorbankan diri kita untuk kita terus mampu memberi kepada orang lain.
Pengorbanan di sini yang cuba saya maksudkan ialah;
i- Sentiasa meningkatkan diri
ii- Bertahan dalam perjalanan ilmu
Ketika saya menukilkan apa yang ada di dalam minda saat ini, maka sayalah juga menjadi orang pertama yang akan Allah uji untuk membuktikannya. Ya Allah semoga Engkau Redha denganku dan menunjukkan Jalan yang terbaik.
Sentiasa meningkatkan diri; ketika memikirkan yang terbaik untuk diri, janganlah selalu kita fikirkan kesenangan yang ingin kita kejar. Terkadang bila alpa datang mengusik, kita idam-idamkan sesuatu yang nampak indah di pandangan mata. Kita nak jadi orang yang Ter-Pandai, Ter-Hebat, Kaya pula. Kerja bagus, Pasangan sempurna dan lain-lain. Entahlah, terkadang kita memang tak terlepas dengan desakan nafsu ini. Namun refleksikan juga, apa Ibadah yang dah kita perbuat?
Ketika berjauhan ini, hanya Tarbiyah daripada Allah sahajalah. Sesekali, ada juga sahabat yang datang mencuit menghiburkan. Sesekali. Tapi saya tak kecewa. Sebab jika itulah juga Tarbiyah dari Tuhan untuk sentiasa membetulkan pergantungan kita kepadaNya justeru itulah yang terbaik.
Mutabaah sentiasa perlu dilaporkan setiap hari. Terkadang sedih, sudahlah taujihat tak diberi, tiba-tiba diminta untuk melaporkan amal. Sekali lagi, begitulah Tuhan mendidik aku, untuk terus Ikhlas dan berusaha bersungguh-sungguh memaknai segenap dimensi hidup. Untuk sentiasa istiqamah biar di mana sahaja aku berada, kerana yang melihat dan tahu aku itu Dia.
Bertahan dalam perjalanan ilmu; Pemuda hari ini, pemimpin masa hadapan. Usaha mampu menjadikan manusia luar biasa. Tak dapat disangkal. Tetapi Ilmu menjadikan kita lebih tenang mengharungi hidup dan menata masa hadapan. Bukan semua mampu bertahan di atas jalan ini. Melihat kepada faktor keluarga saya sendiri, cukuplah membuatkan diri saya perlu maju agar mampu menjadi contoh kepada mereka. Sedih sahaja tidak cukup, pengorbanan untuk melupuskan kesedihan ini menjadi sesuatu yang doruri. Allah cinta kepada penuntut ilmu, kenapa harus bersedih? Kerana seharusnya orang yang berilmu itu akan menjadi lebih dekat kepadaNya. Mudah-mudahan saya sampai ketahap ini. Ameen.
____
Tidak perlu kesal atas sesuatu yang tidak dimiliki
Dalam hidup ini, terkadang kita terdesak untuk membandingkan apa ada pada orang dan apa yang tidak ada pada diri kita. Di mana syukur kita agaknya bila kita berada di dalam situasi ini? Alhamdulillah atas segala pemberian Tuhan kepada kita. Allah takkan pernah silap dalam memberikan sesuatu kepada kita. Apa yang tiada justeru mengajar kita untuk bersyukur dengan apa adanya kita.
Sehingga bertemu lagi…
Bait al-‘Abir, Doha, Qatar.