468x60

ini kisah saya.
ambillah mana-mana yang bermanfaat daripadanya~

Terkenang Hajarul Aswad

Monday, June 1, 2020
Pagi-pagi ini, semasa melipat pakaian anak-anak, tiba-tiba minda menerawang ke zaman semasa menuntut ilmu di bumi Qatar. Ahhh... sudah hampir 7 tahun lamanya, tapi kenangan itu cukup bermakna. Sukar untuk diungkapkan rasa betapa rindunya untuk kembali pada zaman menuntut ilmu, zaman mujahadah meneliti ilmu dengan tekun dan tak kurang juga meneliti hidup di usia muda remaja.

ketika itu umur di awal 20-an, masha Allah Tabarakallah... sekarang usia sudah di penghujung 20-an, masih juga perlu bersyukur atas nikmat iman dan Islam.. 

Semasa melipat kain tadi, otak ligat memutarkan saat-saat yang begitu istimewa bila Allah jemput untuk menjadi tetamunya pada penghujung 2013 setelah selesai musim haji... Alangkah nikmatnya rasa umrah tersebut kerana ke seluruh tempat yang penting telah saya kunjungi...

Teringat saat ingin meninggalkan bumi madinah... Menangis sebelum tidur pada malam terakhir... meskipun belum meninggalkan madinah, rindu pada bumi itu, rindu bersujud di dalam masjidil nabawi, rindu bersujud di dalam raudhah telah menyebabkan hati terlalu sebak... terlalu sebak...

Alhamdulillah, tak putus-putus Allah mempermudahkan banyak tujuan saya... berkali-kali dapat berkunjung ke raudhah sehingga saat pagi sebelum meninggalkan masjidil nabawi untuk pergi ke bukit Uhud dan seterusnya ke masjid Quba.. Ya Allah, rasa macam tak percaya telah sampai ke sana...

Semasa di sana saya tidak banyak bergambar, entahlah, tidak sempat memikirkan untuk bergambar kerana hati betul-betul rasa sayu dan terlalu menghargai peluang yang jarang-jarang dapat dalam hidup... Allah izinkan saya mengerjakan umrah bersama-sama rakan yang lain semasa kami menuntut di Qatar... Umrah kami ditaja oleh masyarakat Malaysia di Qatar... Ya Allah, semoga mereka diberikan ganjaran yang baik atas kebaikan yang mereka lakukan terhadap kami....

Semasa Allah izinkan kami melakukan umrah, kami berada di penghujung semester dan akan menduduki peperiksaan akhir... pada ketika itu, saya tetap tekad untuk mengerjakan umrah meskipun rakan-rakan yang lain risau kepada imtihan akhir yang bakal tiba... entahlah, saya ketika itu lebih menghargai peluang untuk dapat mengerjakan umrah berbanding risau pada peperiksaan akhir....

Saya ingat lagi sepanjang perjalanan kami ke bumi makkah ini dari Qatar melalui jalan darat, saya masih mempunyai tugasan menghafal juz29... saya yang sangat risau juga sekiranya tidak berjaya menghantar hafalan ketika pulang dari Mekah terpaksa pulun bersungguh-sungguh menghafalnya di dalam bas... Saya kenal diri saya, saya memang susah sedikit bab-bab nak ingat, tapi Alhamdulillah Allah permudahkan...Alhamdulillah thummalhamdulillah...

Pengembaraan umrah yang pertama kali ini cukup memberikan kepuasan pada diri saya kerana bukan sahaja dapat pergi secara "percuma", tapi ia juga disebabkan kenikmatan yang diperolehi menziarahi ke tempat-tempat suci... antaranya peluang mencium hajarul aswad... Allahuuuuu sungguh saya tak sangka saya pernah melakukannya... tak tergambar betapa indahnya perasaan atas peluang yang diberikan....

Percubaan mencium hajarul aswad itu berlaku apabila ada antara jemaah lelaki yang menaiki satu bas dengan kami offer untuk bantu kami supaya dapat melakukan ibadah tersebut...mereka tidaklah memberikan jaminan akan dapat, tetapi mereka banyak memberikan dorongan agar kami dapat melakukannya... mereka mengajarkan kami cara-cara dan tips-tips untuk mendekati batu hajarul aswad tersebut.... sementara wanita-wanita arab sibuk bergaduh dengan jemaah umrah yang berebut-rebut ingin menghampiri hajarul aswad, kami terus rapat ke depan dicelahan ramai manusia....Masha Allah...hampir berputus asa tetapi entah bagaimana langkah semakin dekat dengan hajarul aswad...sehingga akhirnya kepalaku dapat mencium dan memasuki lubang kecil itu.... Allahu Akbar ! Dalam sesak-sesaknya manusia, Allah telah pilih saya untuk melakukan ibadah ini... inilah ibadah yang bila hanya kita seorang sahaja yang boleh lakukan pada satu masa...Alhamdulillah... terasa nikmatnya...meskipun pertama kali melakukan umrah, peluang yang jarang-jarang dirasai ini Allah telah berikan...terasa puasnya melakukan umrah meskipun jauh di sudut hati ada kerisauan pada imtihan yang bakal tiba...

Itulah kisah yang telah menjadi kenangan dan selamanya dirindui....
Ya Allah, jemputlah aku lagi............

Tukar Angin

Monday, December 16, 2019
Alhamdulillah setelah fikir punya fikir, setelah berubah-ubah keputusan.
Maka tergaris dalam sejarah hidup berani ambil risiko berubah angin ke tempat yang baru.

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

Semoga Allah Redha
Semoga Allah Bantu
Semoga Allah Sayang Selalu
.
.
.
.
.

Isu utama adalah untuk ketenangan emosi dan kesihatan mental haha
Bukan nak lari dari masalah,
Bukan nak tunjuk pandai,
Bukan nak rasa diri lebih baik

Tapi; nak menjadi diri yang lebih baik dari hari semalam.
mentransformasikan diri
mencabar diri dengan membina kekuatan yang baru

Doakan saya,
dan semoga yang baik-baik juga datang kepada kamu 

selamat tinggal 2019

Thursday, December 12, 2019
Assalamualaikum semuaa!!!!

pejam celik-pejam celik, rupanya dah nak habis dah tahun 2019. 
Cuma tak pasti sempat habiskan atau tidak aje. ala kulli hal, bersyukur ke hadrat ilahi sangat atas apa sahaja nikmat yang telah diberikan.

lama sungguh noh tak update blog. tapi entah kenapa dua tiga hari ni, benak fikiran duk paksa-paksa juga merakamkan sesuatu di blog ini. sebagai kenangan perjalanan hidup 2019. panjang ceritanya, cuma nak pastikan biar ada pengajaran hehe.

Awal tahun
saya memulakan tahun baru hari tu dengan satu aura yang masha Allah...sungguh bertenaga, penuh gembira, rasa macam tak sabar-sabar nak buat sesuatu yang luar biasa. memilih bidang pekerjaan sebagai guru sekolah rendah di sebuah sekolah swasta tidak membuatkan saya rasa rendah diri malah saya rasa bersyukur kerana dapat melibatkan diri secara langsung dengan agenda perubahan pendidikan. inilah satu nikmat yang perlu saya syukuri sejak menolak diri supaya menyumbang apa adanya kerana saya tahu saya lebih bermanfaat apabila bersama-sama dengan manusia lain. bezanya, saya memilih untuk bersama anak-anak kecil.

subhanallah sepanjang 2018, telah banyak memberikan saya beberapa ilmu baru dalam hidup. bermula dengan memaksa diri untuk belajar sesuatu yang baru dan saya sentiasa cuba, cuba dan cuba untuk mencari rentak dan cara yang paling sesuai. Alhamdulillah tahun 2019 hadir, lebih banyak lagi yang perlu saya tingkatkan kerana inilah dunia baru saya dan saya perlu bersyukur dan sentiasa 'upgrade' diri.

Emosi
Ya, 2019 penuh dengan emosinya yang tersendiri. Berikutan saya memilih untuk menguatkan juga semangat saya bagi menamatkan penulisan tesis (meneruskan perjuangan sebagai seorang pelajar) dan dalam masa yang sama saya juga bekerja. Saya akui, saya bukanlah manusia yang boleh melakukan dua kerja dalam satu masa terutamanya untuk hal-hal yang memerlukan komitmen yang tinggi. Saya akui, saya tidak boleh meneruskan perjuangan menulis tesis dan dalam masa yang sama saya perlu komit dengan tugasan sebagai guru tahap satu yang sungguhlah mencabar.

doa saya panjatkan, lama saya fikirkan, dan melihat kepada keadaan yang sedikit tenang, maka saya telah memohon cuti tanpa gaji beberapa kali bagi mengejar cita-cita dan impian menamatkan penulisan tesis. sungguh penat perjuangan emosi ini. hati kena sado, emosi kena stabil sebenarnya. walaupun begitu, saya akui, dalam perjuangan ini tak semua kita dapat penuhi dan capai standard dengan baik. itulah juga yang terjadi pada saya. kepenatan dan emosi yang turun naik menyebabkan terkadang beberapa tugas dinafikan hak-haknya. 

Perjuangan Hidup
babak-babak yang muncul dalam kehidupan 2019, terus-menerus mengajar saya supaya, berani bertindak, selalu berfikir dengan rasional, belajar buat keputusan dan yang penting jangan akur kepada ketidak adilan selagi mana boleh diperjuangkan. Fuhh panjang ceritanya.....

cukuplah saya katakan, betapa hidup ini tidak bermakna bila terlalu lama di lembah yang sanggup memghinakan diri sendiri....kita tidak akan belajar apa-apa kalau sekadar menjadi seorang pak sanggup...bukanlah bermaksud, bersuara itu dikira menang, tetapi berjuang apa yang terbaik untuk kehidupan supaya hari ini lebih baik dari semalam itu sangat sangat perlu.

Lebih lagi hina, bila kita terpaksa akur kepada perkara-perkara yang tidak kita redha tentangnya. Sesuatu yang perlu dilaksanakan tanpa ada toleransi seolah-olah nilai kemanusiaan itu milik sesetengah pihak. Fuhh... begitulah realiti kehidupan.. semua yang terjadi ini sebenarnya nak menyiapkan kematangan minda kita supaya nanti lebih kuat dan cekal. Maka, saya terima semua pengalaman berharga ini sebagai panduan hidup kelak..

Setiap kali peristiwa yang buruk berlaku, saya selalu ingat..Indahnya Islam.. Benar sekali ajaran Islam.. dan ternyata kita akan terus diuji dengan apa sahaja yang kita miliki untuk membenarkan keimanan dalam diri.. Di sinilah pentingnya berbincang dengan seseorang yang rasional..terus bersabar..dan memikirkan perancangan hidup yang lebih baik.. dan seterusnya, kitalah yang menentukan tindakan kita selepasnya.. maka, wujudlah istilah "move on".

Hidup Bukan Persaingan
semakin kita dewasa, seharusnya semakin matanglah kita. Kematangan ini sangat berharga dalam memacu kehidupan kita. Bila kita sedar apa tujuan hidup kita. Bila kita percaya hidup perlukan matlamat yang jelas. Bila kita mula menyusun elemen-elemen penting yang perlu dicapai dalam hidup dan semuanya berorientasikan rasa syukur kita kepada Ilahi.

Bila kita berkongsi, kita tidak lagi sekadar mendabik dada dengan "cerita-cerita hebat" kita malah kita selalu mencari di mana ruang untuk kita sentiasa belajar sesuatu yang baru untuk membangun kehidupan kita. Bila kita tidak lagi menjadikan material sebuah ukuran pencapaian kepada kehidupan. Dan saya paling berterima kasih dan bersyukur bila Allah memberikan petunjuk dan menjadikan kita sedar bahawa "definisi berjaya bagi setiap individu adalah berbeza". Dengan itu, tiada lagi istilah 'hudup aku perlu sama dengan si fulan..', ataupun 'sedihnya tak dapat macam si fulan...'. Pemikiran ini sudah seharusnya lenyap dalam diri kita sampai bila-bilapun kerana bahagia kita berbeza.

Pernah sekali dalam tidak sedar, saya sedikit terkejut bila bertemu dengan rakan yang baru menyambung pengajian dalam PhD. beliau katakan kepada saya, "Saya kena sambung belajar ni, sebab awak dah nak habis buat Master. Nanti sama level". Wallahi saya tak pernah meletakkan niat menyambung belajar sebab takda kerja, sebab nak tunjuk siapa yang lagi pandai, tapi saya sambung sebab minat dan inilah impian ayah saya supaya ada salah seorang anak yang capai ke peringkat pendidikan yang tertinggi. Walaupun hakikatnya, saya rasa tiada beza selagi mana minda kita masih mundur, ilmu yang ada tu kalau tidak menggambarkan level pendidikan yang telah dicapai, inilah yang lebih malang.

Kena banyak belajar bersyukur supaya Allah tambahkan lagi nikmat dan beri kita rasa nikmat bahagia yang sebenar.

itulah sedikit sebanyak kenangan..
nantilah sambung lagi cerita hahah


Keguguran terarah

Sunday, December 2, 2018
Saya telah melahirkan anak pertama pada 6 April 2017, dan kira-kira pada Jun 2018 saya telah mengandungkan anak yang kedua. Mengikut kiraan ini, bermaksud jarak kehamilan saya adalah dekat kerana anak belum lagi 2 tahun (lebih kurang 14 bulan) tetapi saya sudah mengandung kembali.

Antara takut, sedih, redha
Saya tidak menyalahkan takdir akan kehilangan ini, bahkan mungkin kerana ketidakyakinan saya sejak mula mengandung menjadikan sebab untuk saya tidak berlama-lama bersedih dan keterlaluan memikirkan soal keguguran ini.

ada masanya terasa inginkan kandungan ini terus berjaya
ada masa yang lain pula saya ragu-ragu akan keupayaan untuk masa depan kandungan ini

ala kulli hal,
apapun takdir yang berlaku hujungnya, akan saya terima dengan redha.

Permulaan kandungan
Macam biasa proses yang dilalui dalam kehamilan sebelum ini, saya hanya mengesahkan kehadiran insan baru melalui ultrasound. jelas menunjukkan saya hamil. Hanya saya kurang prihatin tentang kehadiran "heart beat".

kehamilan ini cukup terasa mencabar kerana saya tidak lalu untuk bau masakan, tidak mahu memasak, hidung menjadi sensitif kepada bau, namun tidaklah muntah-muntah. Makan pula, memilih dan tidak makan malam kerana tiada selera.


Beginilah ceritanya 

#untukkongsikongsipengalaman
#berbaloibayarRM1

Saya dah tahu lama dah kandungan ni takkan bertahan lama

Sejak saya tahu,
Memang saya acting like orang biasa yang tak hamil 😆

Jalan laju-laju,
Naik turun tangga rilek rilek kat skola,
Berjogging macam biasa cuma tak de lah kau gigih berlari pusing stadium tu,
Tak usahlah nak manjakan diri,
Kita marhaen haha

Usia kandungan patutnya dah 13weeks lebih,
Setiap kali pergi scan di luar,
Doktor tak jumpa pun apa apa,
Memula ingat blighted ovum ke kan,
Tapi saya salute lah doktor kat kk yang cari juga apa isi dalam katung dan menemuinya yeayyy tepuk sikit.

Ketika buka buku sepatutnya dah 9weeks,
Tapi doktor scan-scan dia cakap "emm baru 6 weeks ni",
Byk sebab: mgkn ovulation lambat disebabkan masih bf, mgkn tarikh LMP tu silap (hat ni sy bertegas pasal sy catit bulan2), tapi takpa kita bukan pakar ahah.


It's okay,
Doktor bagi 2 minggu lagi untuk tgk perkembangan,
Tapi berdasarkan apa yg doktor tulis,
saya tahu kandungan ni tak lama,
Plus simptom mengandung semua dah hilang.

Slps 2 minggu scan lg,
Doktor kata still 6 weeks,
Tapi sebab takda apa apa discharge kan mcm spotting ke, sakit perut ke demam ke,
So doktor extend lagi 2 minggu untuk tunggu dia grow.



Tapi sebab takda dengar degupan jantung sejak awal plus tak grow,
Sy yakin dia dah tak ada,
Cuma dia nak duduk kat dalam je lama sikit haha

Ada doctor expect akan kena cuci,
Hat ni memang tak sabar sebab dah penat la bawa benda yang dah takda :( cuma doktors je yang positif hihi

Alhamdulillah ala kulli hal,
Walau scan terakhir menunjukkan kantung masih tinggi dalam rahim dan kemungkinan dnc tu tinggi,
Sebab tak mungkin akan turun dalam masa terdekat,
Tetapi takda sapa boleh lawan kuasa Allah bila tiba-tiba ia nak turun sendiri dalam tempoh yang sekejap.

Then kehospitallah kita untuk procedure seterusnya
#takperluwarded
#sebabtakdapendarahanyangteruk
#sekejapjeprocedurenya
#berbaloibayarRM1



Cuma Kalau diingat-ingat sakitnya ngeri 😩

Tapi pengalaman ini indah mengajar erti sabar, yakin, dan redha 💕

#kitacubalagi
#positifkayhaha

Pertama kali

Tuesday, November 27, 2018



Saya tahu dan saya perasan beliau tersilap dalam bicara,
Terhenti kata-kata dan mungkin hampir "lost" atau "blank"

Saya yang menunggu di tepi tirai sambil menyaksikan persembahan ulung mereka memang penuh debaran,
Tapi sungguh saya tidakpun kecewa kalau mereka tiba-tiba membuat kesalahan

Saya hanya berdoa agar Allah bantu melancarkan urusan mereka,
Dan berikan suatu perasaan yakin agar mereka boleh pergi lebih jauh lagi

Ketika anak kecil ini tersilap dalam bicara saya hanya angguk kan sahaja dan terus berikan galakan supaya dia terus melantunkan kata-kata dan melupakan seketika situasi cemasnya

Saya amat memahami bila kita sedang berbicara tiba-tiba kita blank 😅 ya bukan suatu yang mudah

Walaupun begitu saya tetap bersyukur dengan melihat keupayaan mereka yang masih boleh digilap

Saya yakin mereka boleh menjadi seorang yang jauh lebih baik pada masa akan datang

Ameeen 🌈

#ustazahforummah

banyak mulut

Sunday, April 22, 2018
sedang asyik menyuruh murid menyalin latihan di papan putih,
ada beberapa murid lelaki sibuk berceloteh.

kemain dia.

maka sayapun segera menghampirinya,
sambil-sambil melihat dan membimbing mereka membuat latihan.

"amboi-amboi, banyaknya mulut dia....", sampuk saya.
mereka tersipu-sipu tetapi mulut masih terus berceloteh.

"banyaknya mulut dia....macam perempuan", tambah saya lagi.
(sebab biasanya orang perempuan je yang suka bercakap hihi)

menunggu respon mereka

"habistu muallimah tu apa?", 
"muallimah perempuan kan?", seloroh seorang murid sambil tangan membuat bentuk mulut bergerak memenuhi mukanya.

hi hi hi

cikgu terkena LOL.


APA YANG 2017 BERI PADA SAYA?

Monday, January 29, 2018
Bismillah..
Fuhh fuhh fuhhh...




Lama betul blog ini dibiarkan bersawang, seakan tidak punya waktu meniliknya,
ya tidak ada waktu?
Hmmm, macam tak juga hehe

Waktu dan masa itu tetap sama; 24 jam,
bagaimana saya memanfaatkannya itu yang nyata berbeza..

Hari-hari berlalu,
terkadang cukup membuatkan saya sangat merindukan masa yang lalu,
ketika masa mampu diuruskan dengan lebih baik,
ketika masa diisi dengan perkara yang bermanfaat,
ahhhh sungguhhh rinduu...

APA JADI DENGAN 2017 saya??

Izinkan saya bercerita betapa indahnya perjalanan hidup 2017 ini,
menyelami kehidupan yang jauh berbeza dari sebelumnya.

PERMULAAN TAHUN
Saya memulakan perjalanan tahun 2017 dengan meneruskan usia kandungan yang sudah mencecah 5 bulan. Setiap orang mengharapkan sebuah penantian yang berujung dengan kegembiraan, maka begitu jugalah saya, seorang Aminah.

Menjaga kandungan adalah sebuah priority bagi saya berbanding memikirkan kesulitan mahupan kesukaran perjalanan hidup. Namun saya bersyukur, pernikahan yang telah dilangsungkan ternyata memberikan saya banyak pengalaman yang banyak.

ternyata saya masih belum mahir menguruskan diri setelah bernikah.
Meskipun menguruskan diri sendiri sebelum bernikah adalah sesuatu yang mudah,
ternyata usai pernikahan ia menuntut usaha yang lebih bagi menguruskan dua jiwa yang diikat dengan perjanjian yang berat.


MENANTI KELAHIRAN
Dalam debaran hidup yang penuh kejutan, menanti kelahiran adalah detik yang paling mendebarkan. Bolehkah saya melakukan? Selamatkah kandungan saya? Apakah bentuk kelahirannya? Baby saya dalam perut ni okay ka dak?

Tu diaaa.. macam-macam fikir hihi
sepanjang kehamilan, banyak saya dengari daripada rakan-rakan dekat tentang kematian bayi dalam kandungan mereka. Saya bersimpati, tetapi bukan kuasa kita kerana semuanya telah Allah tetapkan.

Pengalaman saya mengandung dan bersalinpun biasa-biasa je
Alhamdulillah menjalani usia kehamilah dengan jayanya haha

2017 GURU YANG BAIK
banyak saya belajar
banyak menginsafkan diri
banyak kenangan indah-pahit

sesekali tidak kukesali
moga dijauhkan daripada sifat meratap masa lalu
kerana ujian-dugaan yang hadir inshallah ada sesuatu yang bagus sedang menanti
masa depan mencemburui kita
sedang masa lalu hanya tinggal langkah yang sudah dibiarkan

tabahlah hati
kuatlah jiwaaa

Okayla nanti sambung lagi..

Dah habis bulan satu seyhhh :)

Semoga tahun 2018 memberikan lebih banyak ruang mengembangkan potensi yang ada pada diri dan mampu menjadi orang yang lebih bermanfaat.

kadang-kadang kita…?

Tuesday, November 3, 2015

969177_451044811655552_2010071829_n

 

kita akan melalui juga suatu masa,

semua perkara serba tak kena. itu ini, dan macam-macam lagi.

kita nak salahkan siapa?

hehe, salahkan diri sendiri.

sebab kadang-kadang masalah itu datang mungkin disebabkan salah kita juga.

 

chill hehe.

 

sebelum kita jatuh kepada perkara-perkara yang meletakkan diri kita menjadi seorang penghukum,

ambillah masa untuk mengetahui kenapa perkara itu berlaku.

 

Please everyone,

jangan terus melulu mengatakan sesuatu yang janggal kepada seseorang,

tanpa anda dulu tanya kenapa dia jadi begitu even our concern at first is to advice her/him.

 

an advice is good for everyone,

but if the advice is out of topics and bias,

what is it for?

hehe, anyway, nasihat itu agama dan ia bermanfaat untuk manusia.

positif!

Ada la tu hikmahnya

Friday, July 24, 2015

kadang kita telah berusaha untuk memberikan dan berusaha yang terbaik,

tetapi kelihatan masih belum cukup dan dihargai.

 

Kita memikirkan bagaimana untuk merealitikan,

tetapi usaha ini masih tidak dirai dan hanya disimpan dalam mimpi.

 

harus bagaimana lagi aku memberikan kepercayaan dan kesetiaan?

1456739_557571870978830_1891383433_n

 

SABAR, SYUKUR untuk merawat hati yang sedikit terluka.

kenapa susah untuk jujur?

kenapa harus meletakkan janji yang sebenarnya hanya sebuah khayalan?

kenapa tidak berani berhadapan dengan apa yang selalu didamba?

 

Ya Allah

Ya Rahman…

 

bukakanlah jalan-jalanMu,

tunjukilah kami jalan Yang Engkau Redhai.

Apa Rahsia?

Friday, June 12, 2015

Setiap orang memiliki rahsia masing-masing dalam menyusun atur perancangan pelajaran. Begitu juga saya sebagai manusia biasa.

Saya masih ingat, ketika fatrah imtihan sudah semakin menghampiri, siapa tidak berdebar kan? Sebagai pelajar yang normal, pasti kita akan berasa risau. Mulalah hilang selera makan, berat badan berkurang, kurang bercakap, dan lain-lain, tanda ada yang mencemaskan sedang menghampiri (ini kalau sayalah hehe).

Tetapi ada juga beberapa perkara yang selalu saya risaukan menjelang musim imtihan ini. Saya risau sekiranya kurangnya masa saya membaca al-quran, bermathurat, solat malam, solat sunat yang selalu dilazimi.

Disebabkan itu, semakin imtihan mendekat, semakin banyaklah saya membaca al-quran. Saya risau kalau-kalau sy terlebih membaca nota walhal kalam tuhan yang selalu indah berbicara dipandang sepi. Lagi saya buntu lagi banyak saya membacanya. Saya tak rasa rugi jika saya spend masa yang lebih untuk membaca kalam Pencipta kita.

Waktu-waktu genting ini jugalah saya tetap menjaga masa tidur. Saya yakin tidur yang cukup memberikan kesegaran kepada akal. Sepanjang menjadi pelajar, sebelum jam 12 a.m menjelang hari-hari peperiksaan dan semasa hari-hari peperiksaan saya memilih untuk tidak stay up tetapi tidur. Kemudian bangun awal, merintih dan meminta bantuanNya dan sambung pula pembacaan ketika alam sunyi tanpa bicara.

Tetapi saya yakin setiap orang lain-lain rahsianya.

Allah memberikan kurniaanNya kepada setiap hamba-hambaNya. Jangn khuatir dan jangan bersedih. Selagi mana hubungan dengan Dia kita jaga dan terus menjemput amal-amal bahagia.

Setiap pelajar mengimpikan untuk mendapatkan score yang hebat setiap semester; 4 flat. Allah izinkan, seawal tahun dua saya pernah mendapat 'tahta' itu. Walhal saya tidak menjangkakan. Kerana saya 'kantoi' satu paper apabila saya tidak mampu menjawab dengan baik kerana Allah izin apa yang dibaca tidak keluar pula. Ketika keputusan keluar, saya terkedu dan tak lama lepas itu saya menangis...

Kerana, apabila kita sudah berada di kemuncak maka yang ada pada selepas itu adalah kejatuhan..... itulah yang saya katakan kepada keluarga saya.... saya seorang yang tidak banyak berkongsi rasa lalu yang saya pohonkan daripada mereka adalah doa yang tidak putus.

Tahun berganti sehinggalah hampir di penghujung perjalanan sebagai pelajar undergraduate, dengan subjek pengajian yang masih banyak (kesan mengikuti programme pertukaran pelajar haha tapi saya tidak menyesal), terpaksa mendaftar subjek yang kurang diminati (saya redha akhirnya), berhadapan dengan penulisan latihan ilmiah yang memerlukan konsentrasi (sehingga mengalami sakit belakang yang teruk), assignments yang tak henti-henti, membuatkan sy hilang akal.

Kalaulah tidak kerana bantuan daripada Allah, pasti saya tidak dapat menyelesaikan kesemuanya. Saya yakin saya harus berbuat sesuatu. Minda harus positive. Jiwa harus kuat dan kental untuk tahan diuji.

Di setiap pertengahan semester (pada setiap semester), saya selalu membuat penilaian terhadap diri. Berapa peratus sudah kita fahami akan apa yang dipelajari? 30%? 50%? Sambil-sambil tu termenung di hadapan buku catatan dan juga buku pengajian. Mana tahu dapat ilham ke kan hahah. Kalau tak puas hati juga, bertemulah saya dan pensyarah untuk berdiskusi. Tetapi bukanlah tidak berjumpa bermaksud dah faham segala...tapi saya yakin kita perlu ada usaha seperti ke library untuk melihat perbincangan dalam buku-buku yang lain dan buat searching di Internet sampai puas hati. Setelah itu sahkan bersama pensyarah yang mengajarnya.

Perkara ini saya pelajari ketika di tahun 2, ketika mempelajari subject Authority hadith. Bilamana tiada rujukan muktamad diberikan. Kami disaran oleh al-Ustaz yang mengajar untuk mencari bahan-bahan pembacaan dan rujukan yang pelbagai sendiri! Katanya bacalah dan carilah rujukan sendiri. Namun sebenarnya sudah terpampang dalam Proforma pengajian buku-buku yang harus dirujuk. Saya cari satu persatu meski harus ke sana ke mari mendapatkannya.

Saya banyak memperuntukkan masa untuk menulis semula apa yang saya pelajari. Kerana saya bukanlah orang yang sekali baca dapat semua. Saya harus tulis, saya harus faham terlebih dahulu, kemudian barulah saya akan membacanya kembali berkali-kali. Buat 'scanning' kata orang.

Di penghujung yang penuh debaran Allah hadirkan sekali lagi hadiah dariNya tanpa saya jangka; angka 4. Sekali lagi hadiah itu dikurniakan. Walhal, seorang pensyarah saya sempat mengatakan, "Subjek ana enti dapat B", saya tidak terkilan sebab subjek beliau menurut saya, saya tidak dapat menjawabnya dengan baik. Dengan apa yang telah berlaku, Alhamdulillah ala kulli hal.

Ada satu lagi yang saya tak berpisah pada setiap ruang-ruang masa yang ada. Ketika malam-malam yang ada bagi pelajar yang lain dihabiskan untuk menyiapkan tugasan dan menelaah pelajaran. Tetapi bagi saya akan ada malam-malam saya yang dihabiskan untuk menghadiri halaqah. Hujung minggu yang diisi dengan daurah. Masa cuti yang dihabiskan untuk mukhayyam dan lain-lain. Saya bukan manusia hebat, tapi dengan ada program-program yang 'hebat' ini, telah banyak membantu menjadikan saya rasa izzah dengan Islam, mengahrgai ilmu dan kurniaan yang Allah beri. Alhamdulillah!

Meski masa saya 'dicuri', saya yakin akan ada juga masa bagi saya menyelesaikan kesemua tugasan pelajaran dengan baik.

Begitulah kehidupan, setiap yang hadir pasti berlalu.. Semoga Allah terus memberikan kita peluang untuk terus beramal di manapun kita berada dan betapapun banyak dosa kita ada di samping memberikan ruang untuk terus kita insafi kelemahn diri dan terus terpilih untuk selalu merasakan kasih sayangNya.

Nasihat saya untuk pelajar yang membaca,
letakkanlah dahulu usaha di hadapan Allah, terus berdoa dan tawakal kepada Allah.

Teruslah menyandarkan harapan kepada Allah yang tidak pernah mengecewakan kita.Kejayaan adalah milik Allah dan yang akan memberinya adalah Dia. Jangan sampai kita tersilap kira bahawa kejayaan datang dari usaha kita. Berwaspada!

Jangan lupa Doakan saya!

20141228_005010

Musafir yang lalu…

Monday, May 11, 2015

Bas bewarna putih, kontot, dan hanya memuatkan beberapa sahaja penumpang. Uniknya bas ini, tidak aka nada sesiapa yang akan berdiri di dalamya. Ini bermaksud, kesemua penumpang akan mendapatkan tempat duduk masing-masing dan selebihnya tidak dibenarkan menaikinya.

Jarang-jarang ia penuh. Ia hanya akan penuh pada beberapa keadaan. Satunya pada waktu pagi iaitu pada trip yang pertama begitu juga pada penghujung petang iaitu pada trip sebelum magrib. Saat itu pelajar-pelajar perempuan Qatar University yang mendiami asrama pelajar di Madinat Khalifah, Doha akan berpusu-pusu malah berebut-rebut untuk menaikinya supaya cepat sampai ke kuliah ataupun pulang ke asrama. Sesekali rasa lucu, bila mengenangkan terpaksa berebut-rebut dengan bangsa arab untuk mendapatkan tempat di dalamnya. 

Pernah sesekali akan ada seorang teman dari Sudan akan menjerit,
“Yaum ‘Arafah… Yaum ‘Arafah”, kemudian ia ketawa apabila melihat ke semua berlaru-lari ke arah bas dan mengerumuni pintu bas untuk memasukinya.

Aku suka duduk di hadapan. Maka kebiasaannya, kerusi di hadapan berdekatan pemandu akan kududuki. Aku suka lihat jalan. Aku suka melihat kelibat kerete-kereta yang berlegar di atas jalan raya di Bandar Doha ini. Semua kelihatan hebat-hebat. Sukar untuk aku temui kereta yang cikai-cikai. Sesekali terpendam di dalam hati, “teringinnya hendak menaiki kereta itu…”. 

Sepanjang keberadaan di Bandar gah ini, meskipun aku suka melihat jalannya, bangunan yang indah, keindahan landskap di tepi jalan yang dipenuhi dengan bunga-bunga, namun aku tetap tidak mampu mengingati jalan-jalannya. Berbeza di Malaysia, aku begitu cekap mengingati jalan raya.

Di dalam bas adalah masa paling efektif dan begitu juga masa-masa akhir untuk aku memperkukuhkan hafazan. Setiap kali menaiki bas, aku sudah bersiap dengan earphone, untuk aku putarkan bacaan Misyari Rasyid al-Afaasi bagi bacaan juz Tabarak atau disebut sebagai juz 29.

Sambil- sambil bas bergerak, aku terkumat-kamit mengulang bacaan. Ditambah dengan bacaan al-Afaasi  sesekali membuat aku tenggelam dalam emosi. Syahdu.

****
Hari ini, setelah hampir dua tahun yang lalu, aku memutarkan kembali bacaan itu. Aku memulakan keazaman untuk mengulang kembali hafazan aku yang lalu. Betapa rindunya aku akan pemandangan yang terakan dibalik kornea mata ini. Betapa aku rindukan masa-masa yang aku habiskan untuk mengahafal ayat-ayat suciNya tanpa sedikitpun rasa terpaksa. Betapa aku rindukan dekatnya aku dengan ilmu yang memandu kehidupan.

Aku memutarkan berulang kali juz tabarak, surah al-Mulk dan al-Qalam. Sebak. Rasanya ingin sekali aku berlama-lama mengulang-ngulangkannya. Seakan ingin aku kembali pada masa-masa itu. Ahh, ternyata ia cukup mustahil!

Betapa kehidupan kini cukup melemaskan. Punya banyak waktu tetapi seakan tidak mencukupi. Betapa aku sebenarnya rindu kehidupan yang bergelumang dengan kuliah, merasa dekat dengan ilmu, mendampingi guru, bersama rakan-rakan yang seronok bertukar-tukar idea dalam ilmu.

*****
Ketika aku merasakan susahnya belajar di tanah arab itu, sempat aku bertanya rakan-rakan arab yang prihatin dengan keadaan kami.

“Bagaimana menurut kamu subjek ini?”, Tanyaku pada seorang teman bernama Kaltham.

“Ohh, ia cukup mudah! Insha Allah, kamupun mampu menghadapinya”, jawab dia dengan penuh keyakinan.

Huu! Senang? Sebenarnya memang mudah. Yang Nampak sedikit sulit kerana penggunaan Bahasa Arabnya aras tinggi sesekali membuatkan aku terkapai-kapai untuk memahaminya. Namun, aku tidak mahu cepat berputus asa. Subjek Sirah Nabawiyyah ini seharusnya aku kuasai. Kata cinta nabi? Kata ikut halaqah? Jadi.. takkan tak faham kot?

Ada pada ketika yang lain, ketika semangat untuk mengharungi kehidupan yang sukar khusunya dalam matapelajaran yang sedikit mencabar, yang memerlukan penguasaan bahasa yang baik untuk mengolah fakta-fakta. Aku tiba-tiba ter-termenung di dalam kelas. Mataku kualihkan melihat dinding dan melarikan ia daripada wajah Dr Mekki di hadapan. Akhirnya..

“cuba ulang apa yang saya terangkan. Kamu faham atau tidak?”, Tanya Dr Mekki kepadaku secara tiba-tiba sambil matanya dibulatkan dan suaranya terdengar garang.
“err..errr….”, tiada jawapan yang keluar. Terdiam. Takut.
“Fokus! Lihat padaku dan berikan perhatian dan dengar baik-baik”, katanya sambil mengpalkan tangannya dan meletakkan jari telunjuk dan jari hantu di matanya tanda berikan perhatian.

Peristiwa ini membuatkan aku sentiasa bersiap sedia sebelum menghadiri kelasnya.  Terkadang cuak tanpa kutahu kenapa. Aku berazam untuk tidak mengulanginya dan cuba memberikan focus pada pengajaran dan subjek ini. Mudah-mudahan aku tidak mengguris hatinya lagi gara-gara hilang focus dalam kelasnya.

Tidak cukup dengan itu, dalam subjek tafsir pula, ia mengajarkan aku untuk bersabar di tahap yang tertinggi. Aku masih ingat, ketika pulang daripada menunaikan umrah, lalu menghadiri kuliah seperti biasa tanpa sempat rehat kerana khuatir diambil tindakan sekiranya aku tidak hadir ke kelas tanpa sebab munasabah. Tiba-tiba dikejutkan dengan ujian yang tiba-tiba.

Aku cuba meraih simpati,
“Dr, kami tidak tahu hari ini ada ujian. Boleh tangguh ke?”, Tanya salah seorang daripada kami kepada Dr Adnan.
“Tidak, saya telah memaklumkannya bahawa minggu ini ada ujian pada awal kelas yang lalu”, jawabnya tegas tanpa member peluang untuk kami mereka-reka alasan.

Berlalu lah ujian yang diadakan secara tiba-tiba. Tiba-tiba kerana seingat aku, itulah hari pertama semester pengajian dimulakan setelah seminggu bercuti pertengahan semester dan aku dan rakan-rakan menghabiskan masa seminggu itu menunaikan ibadah umrah melalui jalan darat.
Tawakal kepada Allah. Buka kertas ujian, dan jawab sekadar yang tahu. Ternyata banyak yang tidak aku jawab dengan baik. Ujian ini berasaskan kepada pendengaran dan catatan kami dalam kelas saat beliau menyampaikan kuliahnya. Kerana soalan yang diberi ternyata tiada dalam nota! Ia adalah berdasarkan syarahan beliau sewaktu mengajar.

Sekali lagi aku belajar untuk tidak mensia-siakan butir bicara setiap pensyarah yang memberikan kuliah mereka dalam kelas. Hampir-hampir tidak pernah langsung aku tertidur dalam kelas. Alhamdulillah.

*****
Itulah suasana yang terakam kemas dalam fikiran dan tersimpan dalam kotak kenangan.

Hari ini, aku masih bertanya pada diri, ingin menjadi apakah aku? Mengalir air mata, terus berdoa dan berharap pada Ilahi.

****
Apalah jasa aku ini, nak dibandingkan dengan ilmu yang dicurahkan guru-guruku. Sungguh aku terngiang-ngiang doa guruku yang dibacakan di hadapan ku..

“Semoga Allah permudahkan jalan kau menuntut ilmu dan menjadikan engkau seorang yang alim dalam ilmu agama ini. Ameeen”. 

Begitulah seakan-akan doa yang dibacakan olehnya di hadapanku usai pembentangan tugasan aku di hadapan kelas. Berbahasa arab fushah, membaca teks dengan betul, dan menerangkan tugasan dengan ringkas. Sungguh mendebarkan !

Semoga Allah terus memberikan aku peluang untuk menuntut ilmu-Nya yang semakin dipelajari, semakin aku tahu diri, betapa kerdilnya kita di hadapan Allah.



Bumi bertuah,
Malaysia.

Tetap

Saturday, May 2, 2015

Orang selalu kata,

“selagi benda belum berlaku kepada kita, mana kita nak tahu kita berjaya harungi atau tidak”.

20140717_120254

Entahlah. Aku memandang seni pada perkataan dan ungkapan ini lain. Ya, emang benar. Orang yang belum diuji belum tahu bagaimana rasanya. Habis kalau sedang harungi, menyerah sahajakah?

 

Kita ini pemilik kepada jiwa kita.

Kadang aku rasa, kita ni zalim pada diri kita sendiri.

Kita sibuk kata apa yang kitapun tak tahu kita perjuangkan apa.

Sedih.

 

Aku punya teman,

Aku tanyakan khabarnya. Iya, dia seorang yang baru mendirikan rumah tangga. Kalau aku tanya khabarnya, dijawab “Kahwin lah dulu baru tahu..”. Bagi aku, isunya bukan aku tanya khabar rumah tangganya, yang aku tanya bagaimana khabarnya, khabar imannya.

Aku tak menafikan perkahwinan itu melengkapkan sebahagian agama. Tapi aku tetap tidak menyalahkan takdir apabila belum berezeki untuk membina masjid. Mungkin aku terlalu ideal kata sesetengah orang, tapi bagi aku, memulakan dahulu bermakna menjadi contoh kepada yang lain.

Apabila aku disogok dengan persoalan,

“Kamu nanti nak kahwin….”,

terus aku jawab, “Belum lagi rasa nak kahwin setakat ini..”.

 

Bagi aku, bukan untuk sengaja melambat-lambatkan perkara yang baik. Tetapi apalah gunanya tergesa-gesa untuk sekadar menghilangkan rasa malu ‘umur dah meningkat, nikah masih belum..’. Astaghfirullah. Tergesa-gesa nak tutup malu, nak elak orang tanya, nak selamat daripada dicop itu ini.

Sebab bagi aku, pernikahan ini adalah sebuah tawakkal yang paling tinggi kepada Allah. Ia tidak harus diimpikan berlebih-lebihan, tetapi ia memerlukan persediaan. PERSEDIAAN? iya. Ia bukanlah sekadar menggalas tanggungjawab secara tiba-tiba, ia adalah sebuah kehidupan yang memerlukan perancangan yang jelas disertakan tanggungjawab. Pernikahan ini tidak boleh ikut rasa. Ikut rasa, lihat orang nikah, lalu kitapun terikut mahu menikah. Tidak, ia bukan begitu.

 

Sebenarnya apa yang aku fikir?

Eheh. Itulah dia, sebenarnya apa yang aku lebih fikir, bagaimana untuk terus thabat sehingga akhir hayat. Thabat apa? Ya, itulah thabat dalam tetap memperuntukkan masa untuk Dakwah dan Tarbiyah. Sehingga pernikahan itu tidak menghambat diri sekiranya keputusan pernikahan dibuat. Latihannya harus ada sebelum itu.

Tanya pada diri, apa yang kita rasa bila masa-masa kita melebihi masa untuk diri sendiri? Apakah kita merungut atau kita rasa beruntung? Apa yang terkeluar dahulu daripada fikiran kita bila diberikan tanggungjawab dan peranan dalam DnT? Apakah membawa halaqah itu membebankan? Kalu satu, biasa, kalau dua? tiga? Apa yang kita lebih utamakan tatkala masa kita ditarik untuk keperluan DnT, apakah yang terkeluar dari bibir kita hanya cemuhan kepenatan? Sudah Ikhlas? Sudah tenang dan cukup sabar untuk mengahrunginya?

Sebab itu, diawalnya aku sering memikirkan, ia tidak boleh pakai bedal je. Sebab impaknya tinggi. Selagi persoalan itu tidak mendapat jawapan yang tenang dalam jiwa, teruslah berharap hanya kepada Allah kita panjatkan usaha dan niat murni ini. Kita akan susah untuk menginfaqkan diri, selagi mana kita merasakan kita berhak terhadap diri kita. Ternyata kita masih memiliki hak-hak pada diri kita, tetapi bukanlah kita ini pemilik kepada jiwa kita. Kita kan hamba Allah? Kitakan milik Dia?

 

Halaqah yang hambar

Bukan halaqah itu yang hambar, tapi kita belum cukup sabar untuk berada di dalamnya. Kita belum cukup sabar untuk merendahkan ego dan kemahuan kita. Hanya kita yang masih belum sabar untuk memberikan masa untuk jiwa ditarbiyah. Akhirnya halaqah ditinggalkan sepi, dan dihadapkan dengan pelbagai alasan kerana merasakan kesuntukan masa dan banyaknya peranan lain yang harus dijalankan. Sehingga halaqah menjadi sebuah pilihan sama ada untuk hadir hanya bila punya waktu. Dan alasan terus dicari-cari.

 

Pelajaran ada dihadapan

Aku melihat daripada pengajaran dan pengalaman yang ditunjukkan orang dengan harapan aku mempelajari sedikit agar beringat di masa hadapan.  Namun, aku tetaplah manusia, yang perlu sentiasa diingat-ingatkan dengan kebaikan dan penuh kesabaran.

 

Dan teruslah

Beristighfar

Istighfar

Istighfar

 

Sesungguhnya kehidupan ini adalah sebuah ujian, dan kita akan terus diuji dan diuji. Bersabar dan bertahan serta beringatlah. Dan ingatkanlah aku ketika aku lupa dan alpa.

 

 

Bumi bertuah,

Malaysia.

tetap utuh

Thursday, March 26, 2015

ketika jalan yang akan diselusuri terlihat semakin kelam,

dalam kerdilnya diri terpaksa mengharungi,

kenapa harus merasakan seakan dunia tidak menyebelahi,

kerana sudah berapa lama diberi nafas kehidupan?

 

531810_519982428039378_1610031683_n

Alhamdulillah Selesai

Thursday, February 12, 2015

Perjalanan menuntut di Universiti Malaya sebagai Pelajar Ijazah Sarjana  Muda Usuluddin (al-Quran & al-Hadith) sudah ke penghujungnya. Secara tidak rasminya saya sudah bergelar seorang graduan. Hanya menunggu Majlis Konvokesyen secara rasmi daripada pihak universiti.

Saya tertarik untuk mencaritakan dalam post kali ini mengenai perjalanan ilmu saya sepanjang berada di Universiti Malaya. Moga-moga menjadi panduan kepada yang memerlukan hehe.

Tahun 1

Saya memasuki ke gerbang alam universiti pada bulan 9, tahun 2011, sesi kemasukan 2011/2012. Sebenarnya saya tidak menjangkakan untuk terpilih menjadi salah seorang pelajar di Jabatan Al-Quran & al-Hadith (AQSA), memandangkan saya masih baru dengan dunia Bahasa Arab. Saya difahamkan untuk pergi jauh dalam bidang ini, kemahiran dan skill berbahasa arab sangat diperlukan. Namun, memandang kepada surat tawaran yang jelas menyatakan saya terpilih sebagai pelajar di Jabatan Quran Hadith (JQH) membuatkan saya sedikit segan dan perlu banyak berusaha. Sewaktu saya memohon kemasukan ke Akademi Pengajian Islam, saya sebenarnya memilih untuk menjadi pelajar di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, saya kira pada ketika itu mungkin disebabkan pengaruh ISK yang kuat justeru menimbulkan minat saya untuk mendalami bidang sejarah Islam, tetapi Allah lebih mengetahui.

Bermulanya saya sebagai pelajar di JQH, dengan metode pengajian yang hampir keseluruhannya di bahaskan dengan menggunakan Bahasa Arab, namun ada juga dalam Bahasa Inggeris begitu juga Bahasa Melayu, membuatkan saya sedikit tidak yakin. Namun, berbekalkan semangat dan usaha, saya meneruskan juga pengajian meski hati pada ketika itu dirundum kesedihan kerana permohonan menyambung pelajaran ke Morocco ditolak. Dengan itu, peluang yang ada di hadapan mata tetap diteruskan.

Pengajian saya bertempohkan 7 Semester kesemuanya. Saya memulakan pengajian semester 1 dengan begitu kelakar. Dengan keadaan yang memerlukan saya untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai mahasiswa, berlari-berjalan ke kuliah, membina kematangan dengan kehidupan bersosial di kampus, melihat fenomena kehidupan di kolej-kolej kediaman, menghabiskan masa dengan menjejaki ke pusat sumber dan sebagainya. Cukup rumit. Namun, begitulah kehidupan yang perlu dilalui perlahan-lahan.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan adanya juga perasaan ‘mencari lebih’, membuatkan saya hilang arah. Bagaimana untuk saya hadapi semua ini? Bagaimana usaha yang harus diberikan? Banyak persoalan yang bermain difikiran dalam rangka ingin memupuk minat dan kesedaran terhadap ilmu. Yang mengenali saya mungkin mengetahui bahawa, saya berniat ketika melangkah ke alam universiti, ada perkara yang akan saya kurangkan bahkan tinggalkan. Walau saya tahu ada juga kerugiannya, tetapi bagi saya, tiada kemanisan tanpa pengorbanan. Maka saya meninggalkan minat saya dalam bersukan begitu juga aktif persatuan bagi mendapatkan kepuasan sebagai penuntut.

Alhamdulillah Allah memberikan saya jalan-jalan dan dengan izin-Nya, Dia jugalah yang memudahkan urusan-urusan sepanjang pengajian.

Tahun 2

Usai pengajian di Tahun Satu dengan pelbagai jatuh-bangun, saya meneruskan langkah sebagai mahasiswa Tahun Dua. Semakin banyak cabaran yang perlu dilalui untuk melengkapkan pengajian. Bermula tahun dualah saya telah memilih untuk mengisi jadual pengajian dengan mengambil lebih jam kredit. Saya menghabiskan subjek-subjek kokurikulum, saya merancang untuk mengambil subjek luar Jabatan, saya juga menyempurnakan subjek universiti supaya pada tahun akhir saya boleh fokus kepada pengajian di Akademi Pengajian Islam sahaja dengan memberikan tumpuan semampunya.

Saya bukanlah pelajar yang bijak, begitu juga pelajar yang ‘kuat daya ingatan’. Oleh yang demikian, usaha haruslah lebih berlipat ganda. Untuk memahami, mendalami, menghayati sesuatu ilmu itu harus serius. Selain itu, memerhatikan gaya pengajaran yang disampaikan oleh para pensyarah juga suatu perkara yang penting kerana lain orang, lain caranya.

Allah mengizinkan pada peringkat pengajian di Tahun Dua ini, saya dipilih untuk menyertai pengajian khas di Qatar bersama-sama dengan beberapa lagi pelajar. Pada ketika itu, sebanyak hampir 25 orang ditawarkan mengikuti pengajian di Qatar Universiti. Namun, melihatkan kepada kos dan subjek yang ditawarkan oleh pihak Qatar Universiti, maka hanya beberapa orang sahaja yang layak (disebabkan faktor subjek).

Tahun 3

Saya memulakan pengajian di tahun tiga sebagai pelajar pertukaran di Qatar Universiti. Saya hanya dibenarkan mengambil 3 subjek yang bertujuan untuk dijadikan sebagai ‘transfer credit’ kepada subjek yang ada di Akademi Pengajian Islam UM. Tidak boleh lebih! Itulah nasihat yang diberikan oleh Ketua Penolong Pendaftar, di API pada ketika itu, kerana khuatir dengan persekitaran baru, suasana pembelajaran yang berbeza akan membuatkan kami tidak mampu ‘adapt’. Ternyata, walaupun tiga subjek, cukup memberikan pengalaman yang berbeza dan mencabar untuk diharungi. Berjauhan dengan keluarga, bahasa pengantara yang berbeza dan pengalaman pertama.

Satu kerugian bagi saya kerana pada tahun-tahun akhir saya secara tidak langsung mula bersuai-kenal dengan para pensyarah di JQH. Bertukar-tukar fikiran, berdebat, bertanyakan tentang pelajaran, bersembang dan sebagainya dilakukan bagi membina hubungan dengan para pensyarah. Oleh yang demikian, kita menjadi lebih mudah untuk berhubungan dengan mereka dalam rangka mendapatkan info berkenaan permasalahan dalam pelajaran.

Kesukaran yang dialami semasa menjadi pelajar-pelajar tahun akhir adalah bermulanya perjalanan ilmu yang lebih kritis dan mencabar (senang cerita susah). Pengajian saya pada tahun tiga setelah kembali daripada pengembaraan ilmu, tetap sama: lebih jam kredit @ lebih subjek bagi menyelesaikan subjek-subjek yang sudah ketinggalan semasa menjadi penuntut di Qatar Universiti.

Tahun 4

Di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, kami diwajibkan (beberapa Jabatan) untuk menulis tesis atau bahasa peringkat Degree adalah Latihan Ilmiah atau Penulisan Ilmiah. Bukan sekadar menulis, terdapat juga beberapa lagi subjek yang perlu diselesaikan untuk menamatkan pengajian yang diwajibkan iaitu sebanyak 125 jam kredit kesemuanya. Saya mengalami masalah yang agak mencabar (bagi saya), kerana saya harus mengambil beberapa subjek yang tidak menjadi pilihan saya. Hati sedih dan pilu, tetapi yakin ada hikmah disebaliknya.

Pengalaman menulis Latihan Ilmiah, cukup menjadikan saya seorang yang hantu ‘library’. Banyak masa dihabiskan menulis di library di samping bertemu dengan penyelia untuk membahaskan dan membuat semakan terhadap penulisan saya. Penat, usah dikira, tetapi inshaAllah ada manisnya.

Secara khususnya, saya simpulkan pencapaian sepanjang menjadi pelajar di Akademi Pengajian Islam UM atau lebih khususnya sebagai Pelajar Ijazah Sarjana  Muda Usuluddin (al-Quran & al-Hadith),

Semester satu: 3.57

Semester Dua: 3.8

Semester Tiga: 4

Semester Empat: 3.73

Semester Lima: (di Qatar Universiti) 3.6

Semester Enam: 3.9

Semester Tujuh: 4

Jatuh-Bangun dalam pelajaran itu adat. Jangan mengalah, meski penat menjengah. Insha Allah dalam post yang akan datang akan saya ceritakan pengalaman atau bagaimana saya belajar untuk dijadikan panduan. Mudah-mudahan dapat membantu. Namun begitu, saya yakin, setiap orang ada cara masing-masing. Tak salah untuk membantu.

Semoga Allah Redha selalu.

Ameen.

 

sewaktu menghadiri Pesta Buku di Doha, Qatar11122013353-2

 

 

Atas kerusi hitam boleh putar.

Short Sharing

Saturday, February 7, 2015

 

ketika mengalami masalah dalam dakwah…dalam hidup… ingat! Allahkan ada

 

Doa yang kita titipkan menunjukkan tahap kebergantungan kita kepada Allah!

 

Dalam apapun urusan kamu, jangan cuaikan daripada mengingati Allah!

 

apabila berada pada titik-titik kelemahan, kembalilah kepada Allah!

 

kehidupan yang ‘smooth’ itu bukanlah bermakna sebuah kehidupan yang tiada masalah, tetapi dapat melalui kehidupan yang penuh cubaan itu dengan baik!

 

740108714_5745

Redha.

 

 

Yang membuatkan kita tidak bergerak ini, bukan sebab tiada kereta atau sebagainya, tapi hati. Dah kalau ada masalah hati, nak bergerak canaaa? Deep woi!

 

 

 

Tepi tikar Sejadah.